Peraturan Kolej Kediaman ini dibuat agar lebih memenuhi tuntutan penghayatan nilai agama, pengembangan suasana ilmu, peningkatan mutu, penglibatan dan ketrampilan pelajar secara bersepadu dalam mengisi tuntutan pembelajaran dan pendidikan.

Tertakluk kepada tuntutan agama, Undang-Undang Malaysia, Akta 174, Akta  Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, disenaraikan ‘Peraturan Kolej Kediaman’ UiTMT seperti  berikut :

Umum

  1. Pelajar-pelajar adalah dilarang berdua-duaan (berkenderaan atau tidak) dengan teman lelaki / teman wanita di kawasan kolej pada bila-bila masa dan atas tujuan apa sekali pun. Segala urusan perlu diselesaikan di luar kawasan kolej.
  2. Dilarang memasak makanan di dalam bilik.
  3. Dilarang memiliki, membawa, berada dalam kawalan dan menghisap rokok, dadah, pil khayal / pil estacy dan minuman keras.
  4. Dilarang bermain terup dan judi.
  5. Dilarang memiliki senjata yang merbahaya seperti parang dan pedang. Pisau, selain untuk kegunaan seharian juga dilarang.
  6. Dilarang membuat bising seperti membunyikan radio dengan kuat, menjerit, memekik, berbual dengan kuat atau apa-apa cara sekali pun yang boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman penghuni kolej.
  7. Pelajar hendaklah menginap di bilik yang diperuntukkan padanya. Seseorang pelajar tidak dibenarkan menukar bilik sesuka hati tanpa memohon dan mendapatkan kelulusan bertulis dari Unit Pengurusan Kolej & NR.
  8. Kad matrik hendaklah sentiasa dipakai dan dipamerkan semasa berada di sekitar kolej atau sekitar kampus.
  9. Pelajar-pelajar hendaklah berada di kolej sebelum jam 11.00 malam.
  10. Semua pelajar yang mendaftar untuk tinggal di kolej dikehendaki menandatangani borang perjanjian surat persetujuan mematuhi peraturan kolej dan jika didapati melanggarnya akan dikenakan tindakan tatatertib.
  11. Semua pelajar adalah tertakluk kepada Peraturan Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Pakaian

  1.  Pelajar hendaklah berpakaian sopan seperti yang telah ditetapkan dalam garis panduan pakaian dan rupadiri siswa / siswi.
  2. Semasa mengikuti aktiviti kolej atau bersukan, pelajar wanita hendaklah berseluar panjang serta labuh menutupi punggung.
  3. Baju kurung diwajibkan pada hari Isnin pada waktu pejabat.
  4. Semua pelajar dilarang memakai selipar jepun di kafeteria.
  5. Pelajar-pelajar hendaklah berpakaian sopan sebaik sahaja keluar dari bilik penginapan masing-masing, walaupun untuk ke bilik mandi. Semua kawasan di kolej ini adalah dianggap kawasan awam kecuali bilik penginapan.
  6. Sebagai seorang pelajar di institusi pengajian tinggi khusus untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti UiTM ini, haruslah sedar pentingnya kita membina dan mempertahankan budaya asli kita. Oleh itu, pelajar-pelajar dinasihati tidak meniru cara penampilan diri mengikut budaya asing yang boleh merosakkan imej dan akhlak bangsa sendiri. Di antara contoh-contoh yang dapat dinyatakan ialah seperti mewarna rambut hingga perang, memakai anting-anting lebih daripada biasa, berpakaian ketat, pendek dan jarang.

 

Kebersihan dan kekemasan bilik dan kawasan

  1.  Bilik mestilah dalam keadaan bersih dan kemas sepanjang masa.
  2. Tilam mestilah bercadar dan bantal bersarung.
  3. Tidak dibenarkan menconteng, menampal dan memaku di dinding.
  4. Pakaian hendaklah sentiasa kemas dan tersusun.
  5. Kasut hendaklah sentiasa disusun rapi.
  6. Meja tulis hendaklah sentiasa kemas dan tersusun.
  7. Dilarang membuang sampah sarap melalui tingkap dan kaki lima kolej.

Penggunaan alat-alat elektrik

  1. Peralatan elektrik yang dibenarkan ialah cerek elektrik automatik, seterika, pengering rambut, radio kurang dari 20 watts, pembakar ubat nyamuk elektrik, pengecas telefon bimbit, komputer peribadi, pengecas bateri biasa dan ’extension wire’ untuk komputer peribadi. Pastikan kos pendaftaran semua peralatan elektrik peribadi yang telah diluluskan penggunaannya dibayar di Pejabat Bendahari dan dimaklumkan ke Unit Pengurusan Kolej & NR.
  2. Pastikan kipas angin, lampu dan alat-alat elektrik dipadamkan sebelum meninggalkan bilik. Dilarang mengubahsuai peralatan dan pendawaian letrik.
  3. ‘Heater’ atau ‘coil’ atau ‘hot stove’ dan periuk nasi automatik DILARANG digunakan di kolej.
  4. Mewujudkan pancaran gelombang radio haram adalah diharamkan.

Tanggungjawab terhadap harta benda

  1. Laporkan kerosakan peralatan kolej segera ke Unit Pengurusan Kolej & NR.
  2. Tidak dibenarkan mengalihkan kedudukan perabot.
  3. Pelajar dikehendaki membayar kos mengganti / membaiki alat-alat perabot yang dirosakkan.
  4. Pelajar yang hendak meninggalkan universiti, sila pastikan peralatan kolej berada dalam keadaan baik dan bersih.