1. Mematuhi Peraturan - Adalah sangat mustahak bagi anda memahami dan mematuhi semua peraturan semua kolej. Ianya telah digubal untuk kesejahteraan semua penghuni kolej.
  2. Hormat menghormati - Hormatilah rakan-rakan dan semua staf di kolej anda. Kehidupan di kolej akan lebih harmoni jika sikap hormat menghormati diamalkan.
  3. Adab berkomunikasi - Amalkan adab berkomunikasi yang baik. Tuturkata anda akan dijadikan ukuran oleh orang lain untuk menilai diri anda.
  4. Kesopanan - Jauhilah amalan mengejek orang lain dengan laungan ‘boo’. Tindakan sebegini bukan sahaja menyakiti orang yang diejek malah turut menjatuhkan maruah orang yang mengejek.
  5. Adab Menghadiri Majlis - Apabila menghadiri majlis, patuhilah adab sopan yang telah ditentukan. Hadirlah lebih awal dari tetamu khas dan hormatilah perjalanan majlis. Berilah tumpuan kepada ucapan yang disampaikan dan elakkanlah keluar masuk tanpa keperluan yang sangat mendesak.
  6. Kad Keluar Masuk Kecemasan - Gunakan kad keluar masuk dengan sejujurnya. Usahlah menganggap remeh penggunaan kad tersebut, sebaliknya fikirkanlah faedah dan kebaikannya.
  7. Penggunaan Kemudahan - Gunakanlah kemudahan-kemudahan di kolej seperti elektrik, air, telefon awam dan komputer dengan cermat. Elakkan penggunaan yang membazir dan berikan peluang kepada rakan-rakan untuk menggunakannya.
  8. Kebersihan Bilik - Jagalah kebersihan bilik anda. Usahlah mengharap orang lain membersihkan sampah di bilik anda sendiri.
  9. Prihatin - Kenalilah rakan sebilik anda. Jagalah kebajikan mereka sepertimana anda menjaga diri sendiri. Usah bersikap seperti enau di dalam belukar.
  10. Aktif - Jadilah pelajar yang aktif dengan menyertai pelbagai program di kolej. Pelbagai faedah akan diperolehi disamping membentuk anda menjadi manusia yang lebih berketrampilan.
  11. Memberi dan menerima teguran - Demi keharmonian hidup di kolej, amalkan sikap sanggup menerima dan memberi teguran. Hidup anda akan lebih ceria.
  12. Melaporkan kerosakan - Jika terdapat sebarang kerosakan di kolej, laporkan segera ke pejabat kolej. Jangan biarkan kerosakan tersebut berlarutan tanpa pembaikan.
  13. Hubungan dengan keluarga - Maklumkan kepada ibu bapa dan keluarga anda mengenai maklumat kolej kediaman anda. Anda akan lebih mudah dihubungi jika mereka memerlukan.
  14. Tetamu - Hormatilah tetamu. Jangan biarkan mereka bersendirian. Tawarkanlah sebarang bantuan yang anda mampu untuk membantu mereka.
  15. Martabat Diri -Jagalah maruah diri anda. Usahlah melakukan perbuatan yang boleh menjejaskannya. Anda akan lebih dihargai bila maruah dijaga rapi.
  16. Sayangi kolej anda - Ingatlah, anda mendapat pelbagai kemudahan bila anda menginap di kolej. Sedikit sebanyak kerisauan ibu bapa anda terhadap keselamatan anda terlerai. Oleh yang demikian, syukurilah nikmat yang anda perolehi dan sayangilah kolej anda.